Thursday, August 13, 2009

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYESUAIKAN PENGGUNAAN TANAH GAMBUT DALAM PERKEBUNAN

Kalau dibandingkan tanah gambut yang diproses dengan penyubur tanah yang lain seperti kompos, baja najis haiwan, 'coco peat', sekam padi dan lain-lain produk. Tanah gambut diproses adalah penyubur tanah yang lebih ideal kerana keseimbangan sifat-sifat fizikal, kimia dan biologi. Tanah gambut diproses adalah lebih baik untuk kegunaan di dalam penanaman.

Sifat-sifat fizikal, kimia dan biologi tanah gambut ini membolehkannya digunakan sebagai satu substrat tulen ataupun satu campuran tanah garam galian dalam perkebunan. Beberapa ciri yang penting bagi tanah gambut dalam penggunaan tersebut adalah seperti berikut:

a)Tanah Gambut Memperbaiki Struktur Tanah Secara Fizikal

1. Keupayaan Menyimpan Air

Tanah gambut memperbaiki keupayaan menyimpan air bagi tanah garam-galian terutamanya tanah berpasir yang mudah kehilangan air.

2. Pengudaraan
Liang-liang udara yang besar dalam tanah gambut memperbaiki pengudaraan tanah terutamanya tanah liat. Tanah liat berliang udara yang kecil di mana ia dapat menyimpan air dengan baik tetapi lemah dengan daya penembusan air dan pengudaraan.

3. Pengairan
Liang-liang udara yang besar dalam tanah gambut juga memperbaiki pengairan tanah.

Ketiga-tiga ciri fizikal tersebut iaitu keupayaan menyimpan air, keupayaan menyimpan udara serta pengairan yang baik menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan akar, ini akan meningkatkan penyerapan zat-zat makanan dan perkembangan akar, ini akan meningkatkan penyerapan zat-zat makanan dan pertumbuhan tanaman.

b)Tanah Gambut Memperbaiki Tanah Secara Kimia

Sifat Penyimpanan Zat Makanan Yang Baik
Tanah gambut mempunyai muatan pertukaran kation yang baik dan dapat menyimpan unsur pemakanan untuk kegunaan tumbuhan. Ini bermakna tanah gambut dapat mengurangkan kehilangan unsur pemakanan dalam tanah secara resapan dan sejatan terutamanya dalam iklim Malaysia yang panas sepanjang tahun dan kerap kali hujan.

c)Tanah Gambut Memperbaiki Tanah Secara Biologi

Tanah Gambut Memperkayakan Mikroorganisma Dalam Tanah
Tanah gambut menggalakkan aktiviti-aktiviti biologi dalam tanah. Ini berlaku apabila ia menjadi perumah kepada mikroorganisma tanah yang akan menghadamkan bahan-bahan dalam tanah gambut dan menggunakan zat gula dan karbon sebagai sumber tenaga. Semasa proses ini, humus dan asid-asid organik dilepaskan sebagai makanan kepada tumbuh-tumbuhan. Nitrogen dalam bentuk organik yang terikat dalam tanah gambut secara kimia juga digunakan untuk tumbesaran tumbuhan.

Di kawasan tropika, kandungan humus di dalam tanah mereput dengan cepat. Jikalau tidak digantikan dengan bahan organik, tanah tersebut akan semakin berkurangan kandungan humusnya. Tanah gambut adalah kaya dengan sumber humus selepas ia dihadamkan oleh mikroorganisma tanah.

d) Jangka Hayat Yang Panjang

Dibandingkan dengan penyubur tanah yang lain, tanah gambut yang diproses mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi dan mampu kekal selama beberapa tahun di dalam tanah, Proses pereputan yang perlahan ini dapat memberikan kesan organik yang lebih lama kepada tanaman seterusnya dapat mengurangkan kos kepada pengguna. Walaubagaimanapun, kadar pereputan tanah gambut diproses adalah bergantung pada cara penggunaan, suhu, hujan dan faktor fizikal yang lain.

e) Bebas Daripada Patogen

Tanah gambut mempunyai kadar dijangkiti penyakit mikroorganisma tanah yang rendah berbanding tanah garam galian yang lain. Ini adalah kerana keadaan anaerobic atau keadaan di mana tiadanya sumber oksigen semasa pembentukan tanah gambut. Tambahan pula, kebanyakan kuman penyakit tanah tidak dapat hidup dalam keadaan terlalu berasid. Maka tanah gambut memberikan faedah terutamanya bagi penanaman tumbuhan sensitif seperti tomato, bunga carnation dan chrysanthemum.

f)Bebas Dari Rumput Rampai

Dalam keadaan yang sentiasa bertakung dengan air serta pH yang rendah, tanah gambut adalah medium yang bebas dari rumput-rampai. Ini membolehkan tanaman tumbuh dalam keadaan yang bebas dari persaingan rumput-rampai. Sifat ini adalah penting dari segi ekonomi terutamanya ia dapat memelihara tanaman yang bermutu dan bernilai tinggi. Sebagai contoh, padang golf memerlukan penjagaan yang sangat rapi dari ditumbuhi rumput liar, oleh itu tanah gambut adalah substrat yang sesuai sebagai lapisan media penanaman rumput.

g) Kesebatian Struktur dan Kandungan Tanah Gambut Sebagai Substrat Tumbesaran

Kesebatian dalam struktur dan kandungan tanah gambut sebagai media tumbesaran menyumbang kepada keadaan tumbesaran yang baik berbanding dengan tanah garam galian yang lain. Ini adalah terutamanya penting dlam penghasilan pembiakan biji-biji benih secara besar-besaran atau pertumbuhan tanaman sensitif. Tanah garam galian sebaliknya, berubah-ubah dalam struktur, kandungan pasir, tanah liat dan lumpur serta kandungan zatnya.

No comments:

Post a Comment